Berubah Melalui Perubahan.

Semasa saya berada di sekolah rendah, saya adalah antara pelajar yang rajin. Itu yang saya masih ingat.

Maklumlah. Saya tidak pernah ke tadika. Maka, banyak perkara baru yang membuatkan saya teruja apabila memasuki darjah 1. Ini termasuklah aktiviti membaca.

Saya masih ingat, bagaimana saya mengulang bacaan semua buku teks sebanyak 3 kali.

Sekolah saya dahulu, bukanlah sekolah besar. Fasilitinya biasa sahaja. Malah, buku diperpustakaan sekolah juga, semuanya sudah saya habis baca seawal saya masuk darjah 4.

Pada waktu itu, saya tidak pernah terfikir bahawa ada orang lain yang tahu lebih banyak perkara daripada saya. Sehinggalah suatu hari, semasa saya berada dalam kelas darjah 6, seorang murid baru masuk.

Murid ini baru sahaja kematian ayah dan berpindah bersama ibu dan adik-beradiknya ke kampung.

Saya terperanjat. Wah, murid baru ini sangat bijak! Jauh lebih pandai daripada saya. Selepas daripada hari itu, saya tidak lagi menjadi murid nombor 1 di sekolah.

Apakah perasaan saya waktu itu?
Tidak banyak yang saya ingat. Seingat saya, saya masih belajar, bermain dan berkawan seperti biasa. Rakan-rakan dan guru-guru juga masih tetap sama.

Tidak pula ada perbezaan layan semasa saya mendapat nombor 1 atau tidak.

Noraminah Omar

 

Namun, ada banyak perkara yang menyebabkan saya menjadi lebih dewasa daripada peristiwa itu. Hari ini, saya mengimbau semula perkara itu.
[1] Pandai dan bijak itu tidak hanya diukur dengan nombor dalam kelas.

[2] Kemahiran kita dibezakan dengan banyak perkara termasuk pengalaman hidup dan latar belakang keluarga.

[3] Hubungan baik dan kerjasama tidak diukur melalui pencapaian akademik.

[4] Kedudukan itu tidak menjadi penghalang kepada persahabatan.

[5] Tidak ada individu yang boleh mengakui yang beliau sudah cukup ilmu dan tahu semuanya.

Hingga ke hari ini, situasi kemasukan murid baru ke sekolah itu, telah menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup yang mengajar dan menjadikan saya menjadi seorang yang boleh  menerima perubahan keadaan dengan baik.

 

Ada banyak pengalaman kurang enak yang telah menjadikan kita manusia.

.

1 thought on “Berubah Melalui Perubahan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *