KEPERLUAN PERIBADI dan KEPERLUAN ORANG LAIN

KERJAYA dan TANGGUNGJAWAB

 

Seringkali apa yang kita fikirkan merupakan perkara yang berasaskan ‘ketakutan’ yang tidak pasti. Kebimbangan seperti ini, biasanya menyebabkan kita mudah resah dan terpengaruh kepada nasihat yang salah daripada orang yang tidak betul.

 

APA AKAN JADI SEANDAINYA…

 

Dalam sebuah temubual bisnes yang saya dengar melalui radio, seorang usahawan itu menjawab soalan dengan tenang.

 

Apabila ditanya, “Sekiranya bisnes sekarang ada yang mahu membeli dan Puan menjualnya, apa pula yang Puan akan lakukan?”

 

“Oh, saya ada banyak perkara lain yang boleh dilakukan. Saya percaya, apabila kena dengan harganya, bisnes ini saya boleh jualkan saja. Ada banyak perkara lain yang boleh dilakukan.”

 

Jawapan yang diberikan dengan penuh keyakinan itu, membuatkan saya berfikir berkali-kali.

 

Selama ini, banyak kisah dan cerita yang didengar berlegar kepada pengembangan dan kelangsungan bisnes. Tidak banyak yang bercakap tentang ‘apa akan jadi andai’, dalam konteks bisnes mahupun keadaan sebenar.

 

Apa juga bidang yang kita lakukan, kebimbangan begini memang sering berlaku dan banyak yang tidak mempunyai asas yang kukuh. Kebolehan individu itu, masih banyak yang boleh diteroka untuk membolehkan kita terus berjalan kehadapan meskipun kita perlu menukar kenderaan atau melalui jalan alternatif.

 

KERJAYA

 

Kerjaya sebagai guru tadika misalnya, membolehkan seseorang itu menemui banyak kemahiran lain. Apabila disoal, “ Seandainya Puan diberhentikan kerja, apa yang Puan akan lakukan?” Biasanya, jawapan yang diberi ialah, “Oh, saya masih boleh mencari kerja sebagai guru tadika di syarikat / tempat lain.”

 

Sebagai seorang CEO syarikat misalnya, kemahiran dan jaringan yang dibina biasanya cukup ampuh untuk membolehkan beliau terus meneroka pasaran atau bidang bisnes yang baru atau membina tim baru.

 

Apabila disoal, “Selepas meletakkan jawatan sebagai CEO syarIkat ini, apa yang Tuan akan lakukan?” Tidak pernah saya mendengar daripada mereka yang professional berkata, “Oh, tidak! Saya tetap mahukan jawatan itu!”

 

Perancangan peribadi dan perancangan pengurusan syarikat adalah dua perkara yang berbeza. Kerjaya yang melibatkan keputusan peribadi dan kerjaya yang melibatkan situasi membuat keputusan dalam syarikat bisnes adalah berbeza dari segi kesan dan impaknya.

 

BAKAT

 

Kerjaya peribadi banyak memberikan kesan kepada diri dan keluarga. Manakala keputusan syarikat melibatkan syarikat lain, rakan kongsi, pemegang saham, rakan niaga, pelanggan, pembekal dan mana-mana pihak yang terlibat secra langsung dengan perkembangan bisnes.

 

Kerjaya bukanlah satu-satunya yang ada pada kita. Jawatan dan pangkat hanyalah salah satu cara untuk menyusunkan tugas dan kerja dalam organisasi tertentu.

 

Selebihnya, BAKAT itu adalah sesuatu yang mampu membawakan kebaikan. Menjadikan kita manusia yang lebih bermanfaat serta membawakan kebaikan.

 

KEMAHIRAN, MINAT dan BAKAT

 

Apa yang sering difokuskan ialah kemahiran. Kemahiran juga tidak menjadi soal. Ia boleh dipelajarinya. Sama ada berbakat atau tidak, semua orang boleh mempelajari sebarang kemahiran yang mereka mahu.

 

Perkara yang membezakannya ialah minat dan bakat. Mereka yang mempunyai bakat tertentu akan mudah menguasai kemahiran berbanding dengan mereka yang kurang berbakat. Namun, seandainya tidak minat dalam bidang itu, bakat itu agak sukar untuk diteroka apatah lagi untuk dikemabangkan.

 

MASA DEPAN

 

Anak-anak dan diri kita juga merupakan entiti yang bakal membentuk masa hadapan. Apakah yang bakal berlaku, ia merupakan ketentuan.

 

Perkara utama ialah menyusun rancangan dan pelan serta bertindak, meskipun kita tidak mempunyai sebarang petunjuk akan kejadian masa hadapan.

 

Keperluan peribadi dan keperluan yang melibatkan kumpulan manusia yang lebih besar, memerlukan kita membuat keputusan.

 

Bijaksana dan adil adalah ciri-ciri manusia.

Kita semua, mempunyainya.

.

Noraminah Omar

LAKUKAN PERKARA BAIK. MESKIPUN TIDAK SUKA.

Saya masih ingat semasa saya kecil. Saya paling benci apabila diminta makan ubat dalam bentuk pil. Sukarnya mahu ditelan, meskipun besar pil itu umpama sebiji kacang dal sahaja.

Saya masih ingat. Ibu saya menyediakan air manis yang sedap agar saya dapat menelan ubat itu. Ibu juga menyediakan buah buahan agar saya mahu makan pil itu. Buah pisang adalah antara yang biasa.

Pernah satu ketika, saya terpaksa membuang pil ubat akibat muntah apabila cuba menelannya.

Suatu hari saya terfikir. Sekiranya saya tidak makan pil itu, bagaimana saya mahu sihat cepat? Sekiranya saya tidak makan pil itu, saya akan jatuh sakit sekali lagi.

Saya mula memikirkan.

  • Pil ini ubat.
  • Ia memberikan kebaikan.
  • Pahit, tetapi saya perlu untuk sihatkan badan.
  • Baik. Makan saja pil ini, seperti saya tertelan gula-gula.
    Lupakan pahit. Ingat yang manis.

Maka, saya mula menelan pil dengan menutup hidung.

Rupa-rupanya, tanpa mengambl kira dan melupakan tentang bau pil, saya dapat membuangkan persepsi ‘pahit’ ubat itu.

Apabila melihat kepada tugasan yang ada pada hari ini, termasuklah menyediakan laporan dan memantau penggunaan SOP, perlu juga tutupkan telinga. Usah ambil kira ‘kata-kata’ dan ‘komen’ yang tidak membawa manfaat.

Ya, buangkan persepsi ‘orang tidak suka’’, ‘susah’, ‘leceh’ dan ‘membuang masa’.
Buat. Sediakan. Kumpulkan input. Follow-up. Baiki. Ikut sahaja tatacara seperti yang dinasihatkan oleh pakar.

Ia leceh. Seperti ubat, yang datang dengan pelbagai bentuk dan cara makan.

Ia memenatkan. Seperti ubat juga, pahit.

Ia tidak seronok. Seperti ubat juga, tidak sedap.

Ia memerlukan komitmen. Seperti ubat, makan mesti mengikut waktu dan amaun atas nasihat doktor.

buku min di rak

Yang pasti, manfaatnya membawakan kebaikan. Untuk melakukan sesuatu perkara baik yang kita tidak suka:
+ Dengar dan ikut kata pakar.

+ Wujudkan persepsi positif dengan menyenaraikan manfaatnya.

+ Fikir dan bayangkan hasil daripada manfaat itu

+ Buat dengan konsisten
.

Percaya. Beritahu pada diri. Beri.

Banyak perkara yang berlaku dalam hidup, merupakan cabaran yang perlu kita lalui. Sedar atau tidak, hasil yang kita perolehi bermula dengan apa yang kita percaya, beritahu pada diri dan beri kepada orang lain.

 

Saya mempunyai 5 orang anak yang beza umur mereka sekitar 2 tahun setiap seorang. Antara 5 anak ini, anak yang kedua merupakan antara yang pendiam dan juga agak menyendiri.

 

Pada peringkat awal, saya percaya tentang adanya ‘second child syndrome’. Watak dan ciri-ciri yang diceritakan mirip benar dengan anak saya.

 

Sesekali, ada juga kerisauan. Namun, saya biarkan saja. Dari masa ke semasa, saya sentiasa libatkan anak-anak saya secara berkumpulan. Banyak aktiviti dilakukan bersama. Jarang sekali ada yang tertinggal.

 

Pada tahun 2011, saya membawa anak-anak dan keluarga menghadiri satu program umum, “Storytelling Festival” di Pulau Pinang.

PINKS 2011

Dalam program itu ada banyak acara yang diadakan termasuk program terbuka dan tertutup.

 

Salah satu program terbuka ialah program untuk anak-anak membacakan ‘nursery rhyme’, bercerita atau membacakan puisi.

 

Secara spontan saya bertanya kepada anak-anak saya.

“Siapa mahu sertai?” Tidak saya sangka, anak saya yang ke dua itulah yang memberikan respon.

 

“Saya nak lah.”

 

Nampaknya, sangkaan saya meleset.

Apabila saya tidak menghiraukan kepercayaan yang negatif, ia tidak berlaku. Apabila saya memberikan kepercayaan, ia memberikan keyakinan.

Apabila saya memberikan sokongan, ia membuahkan hasil.

 

.

Maka, situasi dimana kita memilih untuk meninggalkan kepercayaan buruk adalah satu pilihan.

Memberikan kepercayaan merupakan satu kuasa yang ada di tangan kita.

Memberikan sokongan moral merupakan satu tugas yang paling mudah boleh kita lakukan.

 

Ia merupakan pilihan. Untuk mendapatkan hasilnya, kita juga perlu memainkan peranan.

Menerima Keadaan dan Berubah.

Semasa saya berada di sekolah rendah, saya terpilih untuk bermain bola jaring untuk sekolah. Ya, saya hanya cukup bagus dalam permainan dan dipilih menjadi pemain simpanan.

Pada peringkat awal, saya hairan. Mengapakah saya tidak dipilih untuk jadi pemain tetap pada mana-mana posisi?

Pada tempoh latihan bermain, saya banyak diberikan tugas tambahan. Ini termasuklah memastikan bola ada, semua orang berkumpul, sesi memanaskan badan berjalan dan seumpamanya.

Pada kebanyakan masa saya akan diminta bermain dalam semua posisi.

Antara bahagian pertahanan dan bahagian serangan, bahagian pertahanan sering diberikan kepada saya.

Waktu itu, saya tidak banyak bertanya. Namun, saya masih terfikir hingga ke hari ini. Apakah yang membuatkan jurulatih pada masa itu meletakkan saya dalam kedudukan sedemikian?

Semasa latihan, apabila jurulatih tidak berpuas hati dengan mana-mana babak latihan permainan, beliau akan memasukkan saya dalam permainan.

Saya lihat, beliau biasanya akan memasukkan saya pada bahagian yang beliau tidak puas hati akan pencapaiannya. Kemudian, beliau akan minta pemain tetap itu, tiru macam saya.

Saya masih ingat lagi betapa penat dan adakalanya bosan, apabila menjadi pemain simpanan.

Saya tidak dapat melakukan satu-satu perkara yang saya suka, tetapi saya perlu lakukan semuanya.

Saya tidak dapat menunjukkan kebolehan yang membolehkan saya menjadi ‘jaguh’ dalam mana-mana permainan.

Tetapi, saya masih terus bersama kumpulan pemain dan terus bermain meskipun dalam situasi yang sebenarnya saya sendiri tidak faham.

IMG-20120127-00489

Saya ikut sahaja apa yang jurulatih saya arahkan. Meskipun saya tidak menjadi pemain kebangsaan dan terkenal dalam sukan bola jaring, saya belajar banyak perkara:

[1] Apabila asyik memikirkan kenapa sesuatu perkara berlaku, saya lupa meraikan kejayaan dan sumbangan saya.

[2] Saya diajar banyak posisi bermain. Mempercayai apa yang jurulatih arahkan merupakan asas kepada pembelajaran.

Tetapi, apa gunanya seandainya saya masih ragu dan tidak yakin?

[3] Saya lupa untuk berbincang dan bercakap-cakap dengan pemain lain, malah dengan jurulatih saya itu.

Mungkin, saya boleh mencapai sesuatu, sekiranya saya berkongsi tentang apa yang saya fikir dan mahu tahu.

Saya melihat situasi ini agak serupa dengan situasi dalam organisasi bisnes semasa.

Ini adalah atas dasar yang sama, saya juga banyak melakukan pelbagai perkara dan berubah-ubah dalam satu tempoh yang tidak lama dalam bidang yang baru saya mulakan.

Ini berlaku bukan sahaja dalam kumpulan bisnes. Adakalanya dalam pelbagai situasi. Saya pernah cuba melakukan bebeapa perkara secara sendirian. Namun, ianya tidak memberikan jalan seperti yang dimahukan.

Maka saya faham bahawa kita mesti percaya dengan pilihan yang kita buat. Maka, kita juga meneruskan dan menjalankan apa yang kita pilih.

Banyak mempersoalkan, bersikap tidak terbuka serta lokek berkongsi hanya menyempitkan peluang sedia ada.

Jadi, teruskanlah dengan kerjasama dalam kumpulan. Perbincangan, lontaran idea, pertukaran serta perkongsian tugas dan kerja bakal menjadi sebahagian daripada rutin kita.

Kongsikan apa yang baik dan cara mengubahnya menjadi lebih baik. SOP dan sistem yang ada, kita gunakan. Baiki mana yang perlu. Tambah mana yang belum ada.

Kita jadikan perubahan mengikut keperluan ini, sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Ia sentiasa memberikan kita cabaran baru, gaya baru.

Saya yakin, kita semua akan berjaya melepasi banyak lagi fasa bisnes dan juga apa yang kita ceburi secara bersama sehingga mencapai tujuan dan sasaran kita.

Yang berguna, usah dibuang.

Semasa sedang mengemaskan ruang simpanan buku-buku dan koleksi nota simpanan saya di rumah, anak-anak saya juga turut sama.

Mereka duduk sambil bertanya tentang setiap satu bahan yang saya susun dengan kemas.

Tiba-tiba, salah seorang anak saya bertanya. “Mak, kenapa beli semua buku ini? Bukannya dibaca setiap hari pun!”

Saya terdiam. Ya. Memang benar. Adakalanya ada buku yang dibeli, hanya dibaca sekali dan kemudiannya disimpan semula.

“Emmm…ada buku yang dibeli untuk bacaan. Kemudian, ianya disimpan untuk rujukan.” jawab saya.

 

gambar aanak-anak

 

Kemudian, satu hari semasa mengemas ruang belajar anak-anak, saya mengumpulkan beberapa kertas dan bahan yang saya lihat tidak lagi boleh digunakan.

Kemudian, anak saya datang dan berkata.
“Mak, kertas- kertas ini semua saya nak simpan untuk rujukan. Usah dibuang.”

Saya tersenyum. Ya, meskipun ada perkara yang dilihat tidak berguna dan tidak perlu pada pandangan kita, ia mungkin diperlukan dan membawa makna bagi orang lain.

 

Source: http://chelleszone.blogspot.com
Source: http://chelleszone.blogspot.com

 

Sama juga dengan cara kita menguruskan susunan bahan dan buku rujukan di ruang kita bekerja.

Apabila bekerja dalam kumpulan, ada perkara dan bahan yang mungkin tidak kita perlukan tetapi memberi manfaat dan menjadi keperluan kepada orang lain.
Kuncinya, cara penyusunan dan pengemaskinian yang berkala serta cara kita berkomunikasi antara satu sama lain.

Ini adalah pilihan kita.

Apa pula yang kita pilih hari ini?
.

NOTA GURU TADIKA : SENTIASA MELEBIHI DARIPADA LARAS MINIMA

Menjadi seorang guru merupakan satu keputusan yang tidak semua orang mampu lakukan. Guru itu, mempunyai tugas dan keperluan yang khusus bagi mencapai objektif kerjayanya.

 

Pada masa yang sama guru tadika khususnya, mempunyai nilai dan falsafah diri yang perlu diseimbangdan diselaraskan dengan keperluan kerja, rakan sekerja dan organisasi kerja. Perkara yang dilihat mudah pada masa kasar, sebenarnya memerlukan kebijaksanaan yang tinggi untuk menyempurnakannya dengan berjaya.

 

Apabila berada dalam sati institusi dan situasi kerja, perlu dilihat apakah laras minima yang sudah ditetapkan. Biasanya ini akan melibatkan beberapa perkara asas yang amnya seperti berikut:

 

  1. Pengajaran dan pembelajaran : Menjalankan sesi pembelajaran
  • Memulakan kelas
  • Pengajaran komponen / subjek
  • Program bacaan bahasa (Inggeris, Bahasa)
  • Aktiviti seni, kraf, bercerita
  1. Tugas am dan rutin harian
  • Menyambut kehadiran murid
  • Perhimpunan pagi
  • Menyemak rekod komunikasi
  • Menyemak rekod kehadiran murid
  • Kebersihan ruang pembelajaran dan ruan umum
  • Menyemak hasil kerja dan tugas murid

 

  1. Penyediaan dan Kajian
  • Menyediakan bahan / alat bantu mengajar
  • Menyediakan rancangan pengajaran harian
  • Menghadiri kelas latihan guru
  • Menyusun aktiviti mingguan

 

  1. Aktiviti / Tugas lain
  • Menyediakan laporan bulanan / tahunan murid
  • Terlibat dalam persediaan acara tahunan tadika (sukan, persembahan, konvokesyen, lawatan)

 

Perkara yang sudah disebutkan diatas merupakan laras minima yang secara amnya dikehendaki dan diperlukan daripada seorang guru tadika yang bertugas.

 

Berdasarkan yang diatas, ada beberapa perkara lain yang boleh dilakukan supaya seorang guru berada pada tahap melebihi daripada garis minima.
Apakah yang membolehkan guru tadika berada lebih daripada paras minima dalam menyelesaikan tugas yang disasarkan?

  1. Pengajaran dan pembelajaran
  • Bersedia denga aktiviti sebelum dam selepas pembelajaran
  • Menjalankan pemerhatian berterusan
  • Mengekalkan rekod pencapaian anak-anak secara objektif
  • Menyediakan aktiviti tambahan untuk murid yang memeerlukan bantun dan yang lebih ‘advance’
  • Memberikan laporan semasa dan perbincangan tentang perkembangan anak-anak dengan rakan sekerja dan ‘supervisor’

 

  1. Tugas am
  • Memberikan laporan an maklumbalas tentang perkara yang melibatkan keselamatan dan kepelruan semasa anak-anak
  • Menghantar laporan tepat pada msanya
  • Berbincang dengan ‘supervisor’ akan rekod komunikasi dan prestasi kedatangan anak-anak

 

  1. Penyediaan dan Kajian

 

  • Sentiasa membaca bahan-bahan terkini dalam isu pendidikan dan berkongsi pengetahuan
  • Boleh memberikan pandangan dan nasihat apabila diminta
  • Menyediakan bahan pembelajaran yang boleh dimanfaatkan bersama
  • Gemar menghadiri kelas latihan, jika tiada, hadir ke program luar yang sesuai
  • Penyediaan rancangan pengajaran harian dihantar untuk semakan awal
  • Menyediakan semua contoh dan panduan aktiviti untuk rujukan
  • Menyediakan ruan ‘display’ semua hasil kerja anak-anak dengan susunan dan kemaskini yang menarik di dalam kelas

 

  1. Aktiviti / Tugas lain
  • Sentiasa memberikan maklumbalas berterusan mengenai pencapaian anak-anak yang dibawah paras minima dan yang melangkaui paras biasa.
  • Suka berbincang dan mendapatkan panduan dan cara baru dalam menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran dengan rakan sekerja
  • Melakukan dan terlibat dalam aktiviti lain dengan mudah.
  • Sentiasa terbuka untuk berbincang dan berunding.
  • Boleh mengemukakan cadangan dan idea solusi untuk apa-apa situasi yang berkaitan
  • Boleh berkomunikasi dengan baik bersama ibu bapa dalam menyampaikan maklumat.

.

 

Mampu mencapai lebih daripada laras minima dalam menyempurnakan tugas sebagai guru tadika bermakna kita boleh menguasai kemahiran-kemahiran baru.

Ini merupakan kunci kepada perubahan kerjaya bagi sesiapa yang berada dalam industri pendidikan kanak-kanak.

.